KANGAR, 2 Julai - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin melihat, rakyat sebenarnya lebih yakin dengan penjelasan Ketua Umum Parti Keadilan (KeADILan), Dato' Seri Anwar Ibrahim berbanding siasatan pihak polis dalam kes dakwaan liwat yang terbaru.
Beliau berkata demikian mengulas dakwaan liwat terbaru ke atas Anwar yang dibuat oleh seorang pembantu khas Anwar, Saiful Bukhari Azlan menggemparkan negara baru-baru ini.
Jelasnya lagi, dalam suasana yang ada sekarang rakyat akan lebih yakin dengan penjelasan yang diberikan oleh Anwar yang menyatakan dakwaan tersebut bertujuan untuk menyekat karier politik beliau.
"Apapun dakwaannya, saya nampak rakyat akan lebih merujuk kepada penjelasan Anwar mengatasi apa yang dijelaskan pihak kerajaan," ujarnya lagi.
Beliau berpendirian bahawa reputasi pasukan polis bakal sekali lagi tercabar berikutan dakwaan perlakuan liwat itu jika siasatan tidak dijalankan dengan adil.
Beliau melihat pengalaman lalu (tragedi 1998) telah membuktikan bahawa integriti pasukan polis dalam menjalankan siasatan ke atas kes Anwar terus dipertikaikan oleh pelbagai pihak.
"Pengalaman 10 tahun lalu menyebabkan tercalarnya reputasi mereka tapi rakyat tidak yakin dengan apa yang didakwa itu.
"Pimpinan kerajaan menyeru rakyat untuk meyakini integriti pasukan polis sedangkan dakwaan terbaru terhadap Anwar ini menimbulkan tanda tanya kepada rakyat apakah peristiwa tahun 1998 lalu akan berulang," katanya./
No comments:
Post a Comment