Antara buku yang sangat baik dijadikan panduan dalam usrah ataupun bacaan sampingan kita ialah buku ‘Amal Jama’ie yang merupakan himpunan kertas kerja yang ditulis oleh Murabbi PAS Pusat, Al Fadhil Ustaz Haji Yahya Othman.
KEPERLUAN MASYARAKAT KEPADA MUSLIM HARAKI
Muslim haraki adalah seorang individu Muslim yang mengistiharkan dirinya adalah bersama dengan gerakan Islam dan akan berusaha sebaik mungkin untuk mencapai cita-cita gerakan Islam dalam membentuk peribadi Muslim, rumahtangga muslim, masyarakat Muslim dan Negara Islam yang terlaksana di dalamnya segala tuntutan Allah SWT.
Muslim haraki adalah cetusan daripada rasa tanggungjawab yang tinggi di dalam dirinya terhadap agama dan ummah. Ia adalah hasil kesedaran bahawa ia mesti menjadi duta penyelamat dan agen pembawa keselamatan dan kejayaan kepada manusia seluruhnya. Rasa tanggungjawab ini timbul dari keimanan yang tinggi terhadap Allah SWT dan kemahuan yang kuat untuk meneladani Rasulullah SAW dalam kehidupan khususnya kehidupan sebagai seorang mujahid di jalan Allah SWT. Iman yang membara di hati sama sekali takkan membiarkan saudara seaqidah dihanyutkan oleh kesesatan dan ditenggelamkan oleh arus fitnah dunia. Ia akan berfikir man mencari jalan seterus bergerak kea rah berusaha dan bekerja untuk keselamatan ummah. Dari sinilah ia akan bergerak dan tidak akan duduk diam melainkan senantiasa bekerja untuk menyelamatkan ummah dengan aqidah yang sahih. Mana mungkin seorang mukmin hanya duduk goyang kaki dan tidur malam dengan nyenyak dalam keadaan saudara seaqidahnya sedang dalam bahaya imannya.
JIWA DA’IE
Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadith :
“Barangsiapa yang mengucapkan LailahaillalLah maka dia adalah seorang da’ie (pendakwah)”
Mafhum dari hadith di atas bahawa setiap Muslim mesti menjalankan tanggungjawab dakwah mengajak manusia lain pula kepada kalimah tersebut. Ia wajib berakhlak dengan nilai hidup Islam yang suci demi menjadikan manusia lain melihat kehebatan Islam yang terpancar melalui tauladan yang ditunjukkan.
Bukan semua Muslim memiliki jiwa da’ie ini. Ia bukan milik ustaz atau ustazah sahaja. Bahkan hari ni realiti yang kita lihat ialah ramai yang bukan berlatar belakang agama yang mempunyai jiwa da’ie yang ampuh. Semangat dakwah yang subur dalam jiwa seorang mukminlah yang sangat diperlukan oleh manusia di zaman ini. Bila manusia muslim hilang jiwa da’ie inilah menjadikan Islam kaku dan beku bahkan yang lebih dahsyat lagi ialah Islam tidak terbela dengan sebab hilangnya jiwa da’ie dari umatnya. Sikap mementingkan diri dan perut sendiri menyebabkan dakwah Islam tidak diperluaskan.
Jiwa da’ie inilah yang dimiliki oleh para sahabah radhiyalLahu ‘anhum. Menyebabkan Islam tersebar ke seluruh dunia. Dengan pengorbanan mereka yang tinggi dakwah Islam berjaya dijulang. Islam disampaikan merentasi benua hingga ia sampai di Malaysia dan kita dimuliakan dengan Islam kerana suburnya jiwa da’ie para pejuang agama sepanjang zaman.
No comments:
Post a Comment