Sunday, August 3, 2008

Tiada kerjasama dengan Umno: Keputusan PAS Pusat legakan ahli

KANGAR - PAS Perlis menyambut baik keputusan yang buat oleh PAS Pusat yang menolak mengadakan sebarang rundingan dengan Barisan Nasional (BN) bagi mewujudkan kerajaan sama ada di peringkat pusat atau negeri.

Ketua Penerangan PAS Perlis, Hairy Hashim melihat keputusan ini adalah satu keputusan yang terbaik dibuat oleh kepimpinan PAS Pusat yang sekaligus memberikan kelegaan kepada ahli-ahli PAS yang berkecamuk dalam menafsirkan isu ini.

"Keputusan ini menenangkan ahli-ahli PAS di peringkat akar-umbi memandangkan majoriti daripada mereka memang tidak boleh menerima sebarang kerjasama dengan BN atau lebih tepat lagi dengan Umno.

"Sebahagian besar ahli PAS masih lagi teringat pengalaman pahit ketika PAS berada di dalam BN pada tahun 1970-an dahulu. Kita juga menyambut baik kenyataan yang dibuat Presiden PAS baru-baru ini untuk terus bersikap terbuka untuk mengadakan sebarang perbincangan dengan mana-man parti politik, badan bukan kerajaan ataupun individu demi kepentingan agama dan rakyat," ujarnya.

Tambahnya lagi, untuk bekerja sama dengan Umno/BN, mana-mana pihakpun perlu berhati-hati dengan sikap pemimpin mereka yang tidak pernah konsisten dengan kenyataan yang dibuat.

"Dalam erti kata lain mereka suka berbohong kepada rakyat. Ingat dulu Presiden Umno yang juga Perdana Menteri kata parlimen tak akan dibubar, esoknya parlimen dibubar. Pemimpin mereka juga kata hagra minyak tak akan dinaikkan selepas pilihanraya, lihat sekarang apa dah jadi?," katanya lagi.

1 comment:

Anonymous said...

Terlalu banyak berdolak-dalih, sukar untuk kita fahami politik parti sekarang ini. Banyak sangat strategi yang kadang-kadang tidak memberi manfaat kepada negara. Pelik juga bila anjing dan kucing mahu berbaik dan makan sepingan di Perak dan bagai musang dan ayam untuk tinggal sereban di Malaysia. Alhamdullilah juga, Allah tak satukan hati mereka kerana akan banyak hati yang punah.