Tuesday, June 3, 2008

Soal-jawab Agama

Dipetik dari Blog Ustaz Ahmad Adnan Fadzil: http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Soalan: Apa yang dimaksudkan dengan dosa? Bagaimana untuk kita mengenali suatu dosa itu sama ada ia tergolong dalam dosa besar atau dosa kecil?
Jawapan: Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”.[1] Dosa kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri, mengumpat, menipu dan sebagainya.
Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;
كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ
“Setiap yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)
Namun mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran dan hadis kerana Allah berfirman;
“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda;
اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)
Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.
Apa maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah;
“Dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang (yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.
Apa yang lebih mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah;[2]
1.Diwajibkan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan sebagainya.
2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.
3.Disifatkan orang-orang yang melakukannya sebagai fasiq.
4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau sebaliknya dan sebagainya.
Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.
Namun harus diingat bahawa walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;
إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
"Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)[3]
Malah dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu;[4]
1.Berterus-terusan melakukannnya
2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan
3.Gembira, bangga dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab kepada kecelakaan.
4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan menangguhkan pembalasan terhadapnya.
5.Melakukan dosa dan kemudian menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.
6.Orang yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.
Wallahu A’lam.
Rujukan;
1. Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4.
2. Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi3. Az-Zawajir ‘an Iqtirafil Kabaair, Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
4. Al-Muntaqa min Kitab at-Targhib Wa at-Tarhib Lil Munziri, Dr. Yusof al-Qaradhawi, juz. 2.
5. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, karangan sekumpulan ulama’, diterbitkan oleh Kementerian Wakaf Kuwait.
6. Syarh al-‘Aqidah ath-Thahawitah, karangan al-‘Allamah ibn Abil ‘Izzi al-Hanafi.
7. Majmu’ al-Fatawa, oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah, jil. 11.
8. Tahzib Madarij as-Salikin (kitab Madarij dikarang oleh Ibnul Qayyim al-Jauziah. Adapun tahzibnya dikarang oleh ‘Abdul Mun’im Sholeh al-‘Aliyyi al-‘Izzi.
9. Bahjatu Qulubil Abrar Wa Qurratu ‘Uyunil Akhyar fi Syarhi Jawami’ul Akhbar, Syeikh Abdur Rahman ibn Naashir as-Sa’adiyy.
10. Tafsir al-Quran al-‘Adziem, Imam Ibnu Kathir (Surah an-Nisa’, ayat 31).
[4] Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 32-34 dan Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi, hlm. 264-266.








No comments: