Thursday, June 5, 2008

Petisyen Sanglang: 18 Jun tentu menang atau pilihanraya semula


KANGAR, 5 Jun - Mahkamah pilihan raya yang bersidang di sini hari ini menetapkan tarikh 18 Jun ini untuk memberikan keputusan petisyen Dun N.15 Sanglang.

Hari ini mahkamah mendengar penghujahan dari semua pihak terbabit berkaitan kuasa mahkamah untuk memutuskan sama ada pempetisyen, Ustaz Hashim Jasin akan diisytiharkan sebagai pemenang atau diadakan pilihanraya semula.

Setelah mendengar penghujahan dari peguam yang mewakili pempetisyen dan responden, hakim pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan tarikh berkenaan untuk beliau memberikan keputusan.

Petisyen ini dikemukakan oleh Ustaz Hashim selaku calon PAS yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut tetapi diisytiharkan kalah kepada calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Pihak responden pertama(Abdullah) telah mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen ini minggu lalu di mana mahkamah telah mendengar penghujahan dari peguam beliau, Jega Karuppiah dan penghujahan balas dari Mohamed Hanipa Maidin, peguam yang mewakili Ustaz Hashim.

Manakala Timbalan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Dato' Kamaluddin Md Said yang mewakili Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden pertama dan kedua telah mengaku berlakunya kesilapan dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) 8 Mac lalu.

Semalam, Jega sendiri turut mengakui berlakunya kesilapan tersebut. Maka petisyen ini tidak diteruskan dengan perbicaraan.

Selain Mohamed Hanipa, seorang lagi peguam yang mewakili Ustaz Hashim, Mohd Shariff Mohd Yusuff turut memberikan penghujahan.

Antara lain hujah yang disebutkan hari ini adalah berkaitan dengan calon yang mendapat undi yang terbanyak sepatutnya diisytiharkan pemenang dan kuasa mahkamah yang sedia untuk memberikan keadilan.

Jega pula kemudiannya membangkitkan tentang tiadanya peruntukan kuasa mahkamah pilihanraya untuk mengisytiharkan pemenang dalam kes ini selepas pilihanraya dan mengadakan pilihanraya semula.
Sementara itu, Kamaluddin pula membangkitkan tentang situasi yang sama berlaku di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 2004 (Che Min Che Mat lawan Kalthom Othman) di mana PAS secara "gentleman agreement" untuk menyerahkan semula kersui tersebut kepada BN.

No comments: