KANGAR, 6 Jun - Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyifatkan kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan semalam sebagai satu "hadiah istimewa" kepada rakyat yang telah memilih kerajaan Umno/Barisan Nasional dalam pilihanraya umum (PRU) yang lalu.
"Akibatnya, rakyat seluruhnya akan menanggung beban akibat kenaikan mendadak ini," katanya.
Semalam Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan harga minyak petrol dinaikkan sebanyak RM0.78, manakala harga diesel pula dinaikkan sebanyak RM1.00 berkuatkuasa tengah malam semalam.
Menurut Ya'akub, kenaikan mendadak ini menunjukkan sifat sebenar pimpinan Umno/BN yang langsung tidak prihatin dengan keadaan semasa di mana rakyat sudah sedia terbeban dengan kesan kenaikan harga minyak sebanyak RM0.30 dua tahun lalu.
"Rakyat terpaksa menanggung bebanan yang bertimpa-timpa. Dulu minyak masak kurang lepas tu beras tak cukup, lepas ni apa pula tak tahulah? Yang pastinya kenaikan harga barang akan berlaku. Tunggulah tengok.
"Sejak petang semalam orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak, lepas ni mungkin mereka akan berebut-rebut pergi membeli barang keperluan pula sampai keadaan jadi huru-hara," ujarnya ketika dihubungi tengahari tadi.
Mengulas lanjut, beliau menyingkap kembali kempen pilihanraya yang lepas di mana ada pihak yang menyatakan PAS/Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) tidak boleh memerintah dan jika memerintah akan membawa rakyat balik ke zaman batu.
"Lihatlah sekarang, siapa yang nak bawa rakyat balik ke zaman batu. Keadaan begini akan membawa balik kita ke zaman batu bila rakyat terpaksa kembali ke era ekonomi sara diri.Rakyat akan terpaksa tanam padi sendiri, tanam sayur sendiri.
"Bila kita janji nak turunkan harga minyak, mereka kata macam-macam. Sekarang tengok, mereka dah bagi "hadiah istimewa" untuk rakyat seluruhnya. Sudah sampai masanya rakyat bangkit untuk memprotes kenaikan ini agar kerajaan sedar betapa besarnya kuasa rakyat" kata beliau lagi.
No comments:
Post a Comment