Friday, June 27, 2008

Pembazir harta negara sahabat syaitan - Dr MAZA

KANGAR, 27 Jun - Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini menegur sikap golongan yang membazirkan harta negara sehingga menyebabkan kesusahan terpaksa ditanggung oleh rakyat bawahan.

"Negeri ini barangkali akan menghadapi pilihanrya kecil tak lama lagi, janganlah sekali lagi kita jadi tengelam dalam hal ini. Ambillah pengajaran wahai orang-orang politik.
"Sesungguhnya ketakburan, kesombongan dan penyalahgunaan kuasa akhirnya akan menimbulkan kebencian rakyat dan akhirnya akan menimbulkan keresahan yang berpanjangan," katanya ketika berkhutbah di Masjid Alwi dekat sini tengahari tadi.

Menyentuh tentang bebanan yang terpaksa ditanggung rakyat berikutan kenaikan harga minyak, beliau menegur tentang pembaziran dan penyalahgunaan harta negara memandangkan negara ini adalah sebuah negara yang kaya dengan hasilnya.

"Hari ini rakyat semua terpaksa menanggung kesusahan akibat kenaikan harga minyak dunia dan di negara ini padahal negara ini adalah sebuah negara yang kaya dan negara pengeluar minyak.

"Tetapi hasil pemborosan dan pembaziran serta salahguna harta negara, maka negara yang kaya menjadi susah dan yang susah itu bukan sahaja mereka yang memegang kuasa, dukacitanya ianya membabitkan rakyat berbagai peringkat.

"Tidak hairanlah bila Allah menyamakan pembazir ini dengan saudara syaitan. Maka syaitan bersama orang yang membazirkan harta negara sehingga menyebabkan kesusahan ditanggung orang dibawah.

"Sesungguhnya orang yang membazir itu adalh saudara syaitan," katanya memetik ayat 27 dari Surah Al-Isra'.

Selain itu dalam khutbahya beliau terus menggesa agar pemimpin-pemimpin politik umat Islam di negara ini untuk duduk semeja berbincang tentang kepentingan dan masa depan umat Islam di dalam negara ini melebihi kepentingan politik masing-masing

"Dalam banyak hal, orang-orang politik di negara ini lebih memikirkan masa depan politiknya lebih daripada masa depan umat Islam. Sebahagian mereka telah mewakafkan sebahagian hidupnya untuk politik tanpa memikirkan benar ataupun salah. Sehingga meminggirkan prinsip-prinsip, ajaran Allah s.w.t dalam Al-Quran dan As-sunnah.

"Kita tak suruh mereka bubarkan parti dan leburkan cita-cita perjuangan mereka jika benar, tapi ada perkara-perkara tentang Islam yag tak boleh ditinggalkan. Malangnya ada ahli politik yang lebih pentingkan parti dan survival politiknya dari masa depan umat Islam," kata beliau.

Menurutnya, pemimpin politik umat Islam di negara ini perlu duduk berbincang agar memastikan segala perbezaan pendapat, perbalahan dan pergeseran ini tidak akan merosakkan masa depan umat Islam dan jika dibiarkan nanti pihak lain akan mengambil kesempatan.

"Tak bolehkah merka duduk berbincang tentang 30 atau 40 perkara dan jika hanya 5 atau 10 perkara sahaja yang dipersetujui, itu sangatlah baik.

"Pilihanraya dah berlalu dan sudah menunaikan hasrat rakyat dengan golongan yang sombong dan takabur telah dihukum. Tetapi manusia tak akan hidup dalam proses hukuman semata-mata, tapi mesti kepada proses perubahan dan perubahan ini memerlukan kekuatan umat." serunya lagi.

Tuesday, June 24, 2008

Tahniah untuk Harakah !!

KENYATAAN MEDIA

PADANG BESAR - Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Besar mengucapkan tahniah kepada Harakah kerana mendapat permit penerbitannya dua minggu sekali seperti dahulu.


Menurut ketuanya, Sarudin Abu Bakar, Harakah sebagai lidah rasmi PAS sudah diterima oleh masyarakat sebagai satu sumber maklumat alternatif terunggul di negara ini.

"Seharusnya Harakah diterbitkan seperti dulu (dua kali seminggu). Kami alu-alukan langkah Kementerian Dalam Negeri memberikan permit berkenaan.

"Kebebasan media adalah satu hak yang perlu dihormati oleh pihak kerajaan. Sepatutnya lebih banyak ruang dibuka kepada parti-parti politik khususnya pembangkang samada dari sudut media cetak mahupun media elektronik.

"Dalam era kecanggihan teknologi penyampaian maklumat seperti sekarang, tak ada gunanya kerajaan menyekat penyaluran maklumat kerana rakyat dah cerdik dan sentiasa inginkan maklumat terkini tak kira dari manapun sumbernya," ujar beliau.

Justeru beliau berharap agar Harakah akan terus berkembang menjadi sebuah akhbar yang mampu menandingi keampuhan media arus perdana.

"Syabas Harakah dengan kemunculan semula dua minggu sekali. Semoga terus menjadi ejen perubahan di negara ini," katanya lagi.


Monday, June 23, 2008

DPP Padang Besar mahu PAS bertanding di Sanglang

PADANG BESAR- Dewan Pemuda PAS (DPP) Padang Besar mahu PAS Perlis menyertai pilihanraya kecil di Dun Sanglang sekiranya Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) memutuskan berbuat demikian berikutan keputusan mahkamah pilihanraya yang memulangkan kepada badan tersebut membuat keputusan berkaitan petisyen pilihanraya Dun N.15 Sanglang.

Ketuanya, Sarudin Abu Bakar berkata demikian memandangkan keadaan politik semasa yang menyebelahi Pakatan Rakyat.

"Tsunami politik yang melanda negara ini masih belum reda dan "mood" rakyat menyebelahi kita pada masa ini. Negara juga sedang dilanda pelbagai masalah termasuk krisis kepimpinan dalam parti pemerintah, Barisan Nasional dan komponennya.

"Begitu juga dengan tekanan hidup yang sedang dihadapi rakyat berikutan kenaikan harga minyak baru-baru ini. Semua ini meletakkan PAS/Pakatan Rakyat berada dalam keadaan yang selesa memasuki pilihanraya," katanya selepas sesi percambahan minda Jawatankuasa DPP Padang Besar baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, semua keputusan tertakluk kepada pimpinan tertinggi PAS samada memasuki pilihanraya kecil atau memboikotnya atas dasar prinsip.

"Apapun kita tetap berharap SPR memutuskan Ustaz Hashim Jasin sebagai pemenang di kerusi tersebut dan tiada pilihanraya kecil diadakan. Pilihanraya 8 Mac lalu adalah sah dan PAS seharusnya diisytiharkan memenanginya kerana yang berlaku hanyalah kesilapan pengiraan.

"Tak adillah sebab rakyat dah membuat pilihan mereka. Apapun sebarang kemungkinan yang berlaku, kita menyerahkannya kepada pucuk pimpinan untuk membuat keputusan.

"Pemuda PAS Padang Besar tetap akan bersedia menghadapi pilihanraya kecil sekiranya diputuskan demikian. Kita sedang mengumpulkan tenaga pemuda untuk bertugas di Sanglang sekiranya diadakan pilihanraya kecil," ujarnya.

Wednesday, June 18, 2008

PAS Perlis sedia hadapi pilihanraya semula di Sanglang

KANGAR, 18 Jun - PAS Perlis bersedia menerima sebarang keputusan berkaitan petisyen N.15 Sanglang yang akan dibuat oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan mahkamah pilihan raya hari ini yang memulangkankan kepada SPR untuk memutuskan sama ada beliau diisytiharkan sebagai pemenang atau diadakan pilihan raya semula.

Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani hari ini memutuskan kemenangan calon BN dalam pilihan raya umum (PRU) lalu dibatalkan dan keputusan selanjutnya dibuat oleh SPR.

"Jika ditakdirkan diadakan pilihan raya semula, kita tetap akan bersedia," kata Ustaz Hashim.
Bagaimanapun katanya, mengikut mahkamah keputusan PRU lepas calon BN dikira kalah dan kini Dun Sanglang tidak mempunyai wakil rakyat.

"Kita jangka bila diisytihar satu kalah mesti ada satu yg menang. Ini menimbulkan sikit tanda tanya berhubung keputusan ini.

"Apapun terpulang kepada SPR untuk isytihar menang atau pilihan raya semula. Kita minta untuk satu kebaikan kerana yang dulu pilihan raya dijalankan secara sah cuma silap umum keputusan di mana pengundi mahu calon PAS diisytihar menang dan tiada pilihan raya semual diadakan," ujarnya ketika ditemui pemberita di hadapan mahkamah pagi tadi.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan pilihan raya kecil hanya diadakan sekiranya mahkamah mengisytiharkan PRU yang lalu tidak sah.

"Pilihan raya lalu adalah sah dan harapan kami SPR yang diberi kuasa untuk menentukan sama ada boleh digazetkan PAS menang dan tak perlu pilihan raya semula.

"Jadi kita minta tak perlu pilihan raya semula dan terus saja isytihar calon PAS menang. Apapun kita akan membuat rayuan ke mahkamah persekutuan dalam hal ini untuk memohon disiytiharkan kemenangan," jelasnya.

Bagaimanapun katanya, sekiranya usaha ini gagal dan terpaksa menghadapi pilihan raya semula maka segala keputusan akan dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa PAS Pusat.

"Terpulang kepada Jawatankuasa PAS Pusat sama ada memasuki pilihan raya semula atau kemungkinan kita memboikotnya. Boikot inipun kerana prinsip nak tegakkan kebenaran bukan soal siapa menang atau kalah kerana jelas PAS menang tetapi diisytiharkan kalah. Terpulang kepada pimpinan PAS Pusat," katanya lagi.

Ditanya siapakah calon yang bakal diketengahkan sekiranya PAS memasuki pilihan raya semula, Ustaz Hashim berkata kemungkinan besar beliau sendiri yang akan bertanding.

"Jika ditakdirkan masuk pilihan raya semula kita akan sedia. Calon tak boleh tentu lagi tapi kehendak rakyat berdasarkan mesyuarat yang diadakan semalam masih mahukan saya. Bukan saya yang minta tapi bergantung kepada keputusan pimpinan," jelasnya lagi.

Mahkamah putuskan kerusi Dun Sanglang dikosongkan

Oleh Bashir Ishak
KANGAR, 18 Jun (Hrkh) - Mahkamah Pilihan Raya hari ini memutuskan kerusi Dun N.15 Sanglang dikosongkan berikutan petisyen yang dikemukakan Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin.

Bagaimanapun, semua keputusan sama ada Ustaz Hashim diisytiharkan sebagai pemenang atau diadakan pilihan raya semula dipulangkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Hakim Pilihan Raya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani semasa membaca penghakimannya memutuskan kemenangan calon BN, Abdullah Hassan dibatalkan berdasarkan tuntutan pertama di dalam petisyen berkenaan.

Namun begitu, bagi tuntutan kedua iaitu mengisytiharkan Ustaz Hashim sebagai pemenang, beliau memutuskan bahawa mahkamah tidak mempunyai kuasa berdasarkan Seksyen 35C dalam AKta Kesalahan Pilihan raya 1954 yang telah dimansuhkan pada tahun 2003.

Petisyen ini dikemukakan oleh Ustaz Hashim selaku calon PAS yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut tetapi diisytiharkan kalah kepada calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Ustaz Hashim menamakan Pegawai Pengurus Pilihan raya Parlimen Arau, Mohd Daud Abdul Hamid, SPR dan Abdullah sebagai responden.

Ustaz Hashim diwakili peguam Mohamed Hanipa Maidin, Zulmi Sabri dan Aqbal Shiffudin Adnan Sallehuddin. Abdullah pula diwakili K. Jegathesan dan Albert Antoni. Manakala Mohd Daud dan SPR di wakili Dato' Kamaluddin Md Said, Rozi Bainon dan Wan Roslan Wan Ismail.

Tuesday, June 17, 2008

Pemuda PAS Padang Besar di Muktamar Dewan Pemuda PAS Perlis Kali ke 33 di Balai Islam MADI, 15 Jun 2008

IKRAR PEMUDA

MENGAMBIL BAHAGIAN DALAM PERBAHASAN

PERWAKILAN DPP PADANG BESAR

SEKITAR MESYUARAT AGUNG KE 14 PAS KAWASAN PADANG BESAR 14 JUN 2008

Perwakilan Dewan Pemuda

Ketua Penerangan, Kamis Yub berucap

Ucaman perasmian oleh Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz Hashim Jasin

Setiausaha PAS Kawasan membentangkan laporan kemajuan tahunan

Saf kepimpinan PAS Kawasan

Thursday, June 5, 2008

CERAMAH

MINYAK NAIK LAGI.........
JANGAN NAIK MINYAK....
JOM PI DENGAG KUPASAN ISU SEMASA...........

Petisyen Sanglang: 18 Jun tentu menang atau pilihanraya semula


KANGAR, 5 Jun - Mahkamah pilihan raya yang bersidang di sini hari ini menetapkan tarikh 18 Jun ini untuk memberikan keputusan petisyen Dun N.15 Sanglang.

Hari ini mahkamah mendengar penghujahan dari semua pihak terbabit berkaitan kuasa mahkamah untuk memutuskan sama ada pempetisyen, Ustaz Hashim Jasin akan diisytiharkan sebagai pemenang atau diadakan pilihanraya semula.

Setelah mendengar penghujahan dari peguam yang mewakili pempetisyen dan responden, hakim pilihanraya, Dato' Zainal Adzam Abdul Ghani memutuskan tarikh berkenaan untuk beliau memberikan keputusan.

Petisyen ini dikemukakan oleh Ustaz Hashim selaku calon PAS yang bertanding mempertahankan kerusi Dun tersebut tetapi diisytiharkan kalah kepada calon BN, Abdullah Hassan dengan majoriti 149 undi.

Bagaimanapun berlaku kesilapan semasa mengisi nama calon pada borang 14 (Penyata Pengundian Selepas Pengiraan Undi) yang mana Ustaz Hashim sepatutnya menang dengan majoriti 47 undi.

Pihak responden pertama(Abdullah) telah mengemukakan bantahan awal terhadap petisyen ini minggu lalu di mana mahkamah telah mendengar penghujahan dari peguam beliau, Jega Karuppiah dan penghujahan balas dari Mohamed Hanipa Maidin, peguam yang mewakili Ustaz Hashim.

Manakala Timbalan Ketua Bahagian Guaman Jabatan Peguam Negara, Dato' Kamaluddin Md Said yang mewakili Mohammad Daud Abdul Hamid (Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Arau) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) selaku responden pertama dan kedua telah mengaku berlakunya kesilapan dalam keputusan pilihan raya umum (PRU) 8 Mac lalu.

Semalam, Jega sendiri turut mengakui berlakunya kesilapan tersebut. Maka petisyen ini tidak diteruskan dengan perbicaraan.

Selain Mohamed Hanipa, seorang lagi peguam yang mewakili Ustaz Hashim, Mohd Shariff Mohd Yusuff turut memberikan penghujahan.

Antara lain hujah yang disebutkan hari ini adalah berkaitan dengan calon yang mendapat undi yang terbanyak sepatutnya diisytiharkan pemenang dan kuasa mahkamah yang sedia untuk memberikan keadilan.

Jega pula kemudiannya membangkitkan tentang tiadanya peruntukan kuasa mahkamah pilihanraya untuk mengisytiharkan pemenang dalam kes ini selepas pilihanraya dan mengadakan pilihanraya semula.
Sementara itu, Kamaluddin pula membangkitkan tentang situasi yang sama berlaku di Parlimen Pasir Puteh, Kelantan pada tahun 2004 (Che Min Che Mat lawan Kalthom Othman) di mana PAS secara "gentleman agreement" untuk menyerahkan semula kersui tersebut kepada BN.

NAIK MINYAK: "HADIAH ISTIMEWA" UMNO/BN UNTUK RAKYAT

KANGAR, 6 Jun - Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman menyifatkan kenaikan harga minyak yang diumumkan kerajaan semalam sebagai satu "hadiah istimewa" kepada rakyat yang telah memilih kerajaan Umno/Barisan Nasional dalam pilihanraya umum (PRU) yang lalu.

"Akibatnya, rakyat seluruhnya akan menanggung beban akibat kenaikan mendadak ini," katanya.

Semalam Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengumumkan harga minyak petrol dinaikkan sebanyak RM0.78, manakala harga diesel pula dinaikkan sebanyak RM1.00 berkuatkuasa tengah malam semalam.

Menurut Ya'akub, kenaikan mendadak ini menunjukkan sifat sebenar pimpinan Umno/BN yang langsung tidak prihatin dengan keadaan semasa di mana rakyat sudah sedia terbeban dengan kesan kenaikan harga minyak sebanyak RM0.30 dua tahun lalu.

"Rakyat terpaksa menanggung bebanan yang bertimpa-timpa. Dulu minyak masak kurang lepas tu beras tak cukup, lepas ni apa pula tak tahulah? Yang pastinya kenaikan harga barang akan berlaku. Tunggulah tengok.

"Sejak petang semalam orang ramai berpusu-pusu mengisi minyak, lepas ni mungkin mereka akan berebut-rebut pergi membeli barang keperluan pula sampai keadaan jadi huru-hara," ujarnya ketika dihubungi tengahari tadi.

Mengulas lanjut, beliau menyingkap kembali kempen pilihanraya yang lepas di mana ada pihak yang menyatakan PAS/Barisan Alternatif (kini Pakatan Rakyat) tidak boleh memerintah dan jika memerintah akan membawa rakyat balik ke zaman batu.

"Lihatlah sekarang, siapa yang nak bawa rakyat balik ke zaman batu. Keadaan begini akan membawa balik kita ke zaman batu bila rakyat terpaksa kembali ke era ekonomi sara diri.Rakyat akan terpaksa tanam padi sendiri, tanam sayur sendiri.

"Bila kita janji nak turunkan harga minyak, mereka kata macam-macam. Sekarang tengok, mereka dah bagi "hadiah istimewa" untuk rakyat seluruhnya. Sudah sampai masanya rakyat bangkit untuk memprotes kenaikan ini agar kerajaan sedar betapa besarnya kuasa rakyat" kata beliau lagi.

Tuesday, June 3, 2008

Jom Pi Dengar Ceramah


Soal-jawab Agama

Dipetik dari Blog Ustaz Ahmad Adnan Fadzil: http://ilmudanulamak.blogspot.com/

Soalan: Apa yang dimaksudkan dengan dosa? Bagaimana untuk kita mengenali suatu dosa itu sama ada ia tergolong dalam dosa besar atau dosa kecil?
Jawapan: Dosa bermaksud; “Setiap perkara yang menyalahi perintah Allah sama ada kerana meninggalkan apa yang disuruhNya atau melakukan apa yang ditegahNya”.[1] Dosa kerana meninggalkan yang disuruh seperti dosa orang yang mengabaikan solat, tidak berpuasa, tidak mengeluarkan zakat, tidak menutup aurat dan sebagainya. Dosa kerana melakukan tegahan Allah seperti dosa berzina, minum arak, mencuri, mengumpat, menipu dan sebagainya.
Dosa mengikut takrifan di atas merangkumi semua jenis dosa sama dosa-dosa besar atau dosa-dosa kecil. Sebahagian ulamak tidak bersetuju dengan pembahagian dosa kepada besar dan kecil. Antara mereka ialah Abi Ishaq al-Isfaraini, Qadhi Abu Bakar al-Baqilani, Imam al-Haramaian dan Abi Nashr al-Qusyairi. Bagi mereka semua dosa dan larangan Allah adalah besar belaka sebagaimana Ibnu Abbas r.a. pernah berkata;
كُلُّ مَاْ نَهَى اللهُ عَنْهُ فَهُوَ كَبِيْرَةٌ
“Setiap yang dilarang/ditegah Allah adalah besar”. (Riwayat Imam at-Thabrani)
Namun mengikut pandangan majoriti ulamak, dosa terbahagi kepada dua iaitu dosa-dosa besar dan dosa-dosa kecil. Pandangan majoriti ulamak inilah yang menepati al-Quran dan hadis kerana Allah berfirman;
“Jika kamu menjauhi dosa-dosa besar di antara dosa-dosa yang dilarang kamu mengerjakannya, niscaya Kami hapuskan kesalahan-kesalahanmu (dosa-dosamu yang kecil) dan Kami masukkan kamu ke tempat yang mulia (surga)”. (An-Nisa’:31)
Rasulullah s.a.w. juga bersabda;
اَلصَّلَوَاْتُ الْخَمْسُ وَ الْجُمْعَةُ إِلَى الْجُمْعَةِ وَ رَمَضَاْنَ إِلَى رَمَضَاْنَ مُكَفِّرَاْتُ مَاْ بَيْنَهُنَّ إِذَا اجْتُنِبَتِ الْكَبَاْئِرُ
Solat lima waktu, solat jumaat hingga jumaat berikutnya dan ramadhan hingga ramadhan berikutnya menjadi penebus dosa-dosa (kecil yang berlaku) di sela-sela waktu tersebut selama dijauhi dosa-dosa besar”. (Riwayat Imam Ahmad, Muslim dan Tarmizi dari Abi Hurairah r.a.)
Ayat al-Quran dan hadis di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa di sana ada dosa-dosa besar dan ada dosa-dosa kecil.
Apa maksud dosa besar? Menurut Ibnu ‘Abbas r.a., dosa-dosa besar ialah;
“Dosa-dosa yang ditetapkan hukuman had ke atasnya di dunia dan diancam dengan azab di akhirat atau diancam dengan laknat Allah dan kemurkaanNya”. Menurut Imam al-Haramain pula, “Dosa besar ialah dosa yang menampakkan bahawa pelakunya seorang yang kurang menjaga agamanya dan amat longgar pegangannya dengan agama di mana dosa ini menghilangkan al-‘adalah (sifat adil) pada diri seseorang (yakni orang yang melakukannya akan dianggap sebagai fasiq)”.
Apa yang lebih mudah ialah kita menilai dosa-dosa besar berdasarkan tanda-tandanya. Menurut Imam Ibnu Solah; “Tanda-tanda dosa besar antaranya ialah;[2]
1.Diwajibkan hukuman hudud ke atasnya seperti dosa berzina, minum arak, qazaf, mencuri dan sebagainya.
2.Di ancam ke atasnya dengan azab neraka atau sebagainya di dalam al-Quran atau as-Sunnah seperti dosa menyelewengkan harta anak yatim (rujuk surah an-Nisa’, ayat 10), dosa lari dari medan peperangan (rujuk; surah al-Anfal, ayat 16), tidak mengeluarkan zakat, tidak menunaikan solat, mengumpat, mengadu domba dan sebagainya.
3.Disifatkan orang-orang yang melakukannya sebagai fasiq.
4.Dilaknat orang-orang yang melakukannya seperti dosa makan riba, dosa rasuah, dosa lelaki yang meniru gaya perempuan atau sebaliknya dan sebagainya.
Adapun dosa-dosa kecil, ia adalah dosa-dosa di bawah tahap atau batasan dosa-dosa besar tadi. Contoh dosa kecil ialah; melihat kepada bukan mahram, suka berbalah atau bertengkar, kencing atau berak dengan mengadap ke arah kiblat atau membelakanginya, bercakap di dalam masjid dengan perkara-perkara dunia semata-mata dan sebagainya.
Namun harus diingat bahawa walaupun dinamakan dosa kecil, tetapi ia bukanlah perkara yang boleh dipandang mudah atau remeh kerana Rasulullah s.a.w. bersabda;
إِيَّاْكُمْ وَ مُحَقَّرَاتِ الذُّنُوْبِ فَإِنَّهُنَّ يَجْتَمِعْنَ عَلَى الرَّجُلِ حَتَّى يُهْلِكْنَهُ
"Awasilah kamu sekelian dari dosa-dosa yang kecil/remeh. Sesungguhnya ia akan berkumpul pada diri seseorang sehingga akan memusnahkannya (dengan menjatuhkannya ke dalam dosa besar)”. (Riwayat Imam Ahmad, at-Thabrani dan al-Baihaqi dari Abdullah bin Mas’ud r.a.)[3]
Malah dosa kecil dalam keadaan-keadaan tertentu akan berpindah menjadi dosa besar. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumiddin telah menjelaskan enam sebab suatu dosa kecil akan berubah menjadi dosa besar, iaitu;[4]
1.Berterus-terusan melakukannnya
2.Memandang remeh terhadap dosa yang dilakukan
3.Gembira, bangga dan seronok apabila dapat melakukan dosa sehingga ia merasakan bahawa ia dapat melakukan dosa itu merupakan suatu nikmat. Ia lupa bahawa dosa adalah penyebab kepada kecelakaan.
4.Memandang remeh apabila Allah menutup dosanya dan menangguhkan pembalasan terhadapnya.
5.Melakukan dosa dan kemudian menyebut-nyebutnya di hadapan orang lain, atau melakukan dosa berterang-terangan di hadapan orang lain tanpa rasa malu sedikitpun.
6.Orang yang melakukan dosa kecil itu adalah orang alim.
Wallahu A’lam.
Rujukan;
1. Ihya’ ‘Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4.
2. Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi3. Az-Zawajir ‘an Iqtirafil Kabaair, Imam Ibnu Hajar al-Haitami.
4. Al-Muntaqa min Kitab at-Targhib Wa at-Tarhib Lil Munziri, Dr. Yusof al-Qaradhawi, juz. 2.
5. Al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah, karangan sekumpulan ulama’, diterbitkan oleh Kementerian Wakaf Kuwait.
6. Syarh al-‘Aqidah ath-Thahawitah, karangan al-‘Allamah ibn Abil ‘Izzi al-Hanafi.
7. Majmu’ al-Fatawa, oleh Syeikh al-Islam Ibnu Taimiyah, jil. 11.
8. Tahzib Madarij as-Salikin (kitab Madarij dikarang oleh Ibnul Qayyim al-Jauziah. Adapun tahzibnya dikarang oleh ‘Abdul Mun’im Sholeh al-‘Aliyyi al-‘Izzi.
9. Bahjatu Qulubil Abrar Wa Qurratu ‘Uyunil Akhyar fi Syarhi Jawami’ul Akhbar, Syeikh Abdur Rahman ibn Naashir as-Sa’adiyy.
10. Tafsir al-Quran al-‘Adziem, Imam Ibnu Kathir (Surah an-Nisa’, ayat 31).
[4] Ihya’ Ulumiddin, Imam al-Ghazali, jil. 4, hlm. 32-34 dan Minhajul Qasidin, Imam al-Maqdisi, hlm. 264-266.








Zahidi tawar diri bertanding Ketua Pemuda Umno

KANGAR, 2 Jun - Laporan Bernama memetik Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Zahidi Zainul Abidin bersedia menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Zahidi, 48, dipetik menyebut hasratnya itu mendapat restu Badan Perhubungan Umno Perlis yang diterajui Dato’ Seri Shahidan Kassim.

Beliau yang juga Ketua Umno bahagian Padang Besar, berkata beliau menawarkan diri untuk bertanding setelah yakin akan mendapat sokongan daripada seluruh negara.

Katanya ketandusan kepimpinan di utara Semenanjung mendorongnya untuk menawarkan diri bertanding jawatan yang bakal dikosongkan oleh Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata Badan Perhubungan Umno Perlis turut menyokong hasrat Shahidan untuk bertanding jawatan Naib Presiden Umno dengan alasan ketandusan kepimpinan dari utara.

Setiausaha DPP Padang Besar sertai Persidangan Setiausaha di Langkawi



Setiausaha DPP Padang Besar, Nurdin Isa menyertai Persidangan Setiausaha-setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat yang diadakan di Langkawi Boutique Resort, Pantai Chenang, Langkawi pada 30 Mei hingga 1 Jun baru-baru ini.

Turut serta ialah Setiausaha DPP Perlis, Azmal Zaid yang mengetuai kontinjen Perlis ke persidangan tersebut bersama-sama Setiausaha Kerja DPP Perlis (Hashimi), Setiausaha DPP Kawasan Kangar (Syed) dan Arau (Din).

AMK Perlis tak terjejas dengan kemasukan bekas ketua ke dalam Umno

Oleh Bashir Ishak

KANGAR, 31 Mei (Hrkh)- Angkatan Muda KeADILan (AMK) Perlis tidak terjejas dengan kemasukan bekas ketua merka, Ahmad Daud Che Abdul Ghani ke dalam Umno bersama-sama bekas ketua AMK Pusat Ezam Mohd Noor.


Ketua AMK Perlis, Zamri Sapar dalam kenyataan medianya menegaskan bahawa kemasukan Ahmad Daud kedalam Umno tidak memberi sebarang kesan kepada perkembangan positif pergerakan AMK di negeri ini.


"Bahkan tiada seorang pun di kalangan ahli AMK di Perlis yang turut mengikut jejak langkah beliau memandangkan ketika beliau diberi tanggungjawab sebagai Ketua AMK Perlis sehingga tahun 2004 pun, beliaugagal membentuk jawatankuasa AMK Negeri Perlis. Dengan kata lain, beliau tidak mempunyai pengikut," katanya.


Selain itu menurutnya, AMK Perlis kini sedang giat menerima kemasukan ramai ahli baru sejak pilihanrayaumum 8 Mac yang lepas di mana keahliannya merangkumi ketiga-tiga bahagian di Perlis dan terdiri daripada pelbagai kaum termasuk Melayu, Cina, India dan keturunan Thai.


"Di samping itu, Ahmad Daud juga telah lama meninggalkan KeADILan kerana mengikut Ezam dan dengan itu kami mengucapkan semoga beliau berjaya dalam Umno yang semakin nazak sekarang," ujarnya lagi.

SEKITAR MESYUARAT AGUNG KE 12 DPP PADANG BESAR 18 MEI 2008

Jasamu dikenang Bang Dan. Mantan Ketua (sesi 2005-2007), Kamis Yub menerima cenderahati

Ketua Penerangan, Wan Abdul Rahman menjawab pertanyaan perwakilan


Macam biasa. Tiapa-tiap tahun ada hadiah cabutan bertuah

Ketua kita, Sarudin menyampaikan ucapan alu-aluan

Wakil PAS Kawasan, Hj Mohd ALi Puteh berucap


Ucapan Perasmian oleh Ketua DPP Perlis, Ustaz Ya'akub Abu Seman


Khairul Amer membantu pendaftaran para perwakilan

Setiausaha, Nurdin Isa mempengerusikan majlis perasmian

"To Wali" kita (Naib Ketua, Mohd Rodzi Ismail) membaca Al-Quran











GUNA KESEMPATAN PERGOLAKAN UMNO UNTUK LEBAR PENGARUH

BESERI - Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Ustaz Ya’akub Abu Seman menyeru setiap ahli PAS menggunakan kesempatan pergolakan yang berlaku di dalam Umno untuk melebarkan pengaruh di kalangan masyarakat.

Katanya, suasana yang ada sekarang memberikan kelebihan kepada parti-parti pembangkang khususnya PAS untuk mendampigni masyarakat dan memberitahu mereka bahawa Umno bukan lagi parti yang relevan untuk memerintah negara ini.

“Rakyat perlu tahu Umno sebagia parti yang menunjangi Barisan Nasional sedang menghadapi krisis di peringkat nasional mahupun di negeri Perlis ini sendiri. Di Perlis sendiripun Umno tak bersatu. Mereka masih bercelaru apabila selepas pilihanraya baru-baru ini berlaku pertukaran Menteri Besar yang kini masih tercari-cari pengaruhnya.

“Mana tidaknya, dia bukan ada jawatan di Umno pusat, Ketua Bahagian Umno pun tidak bahkan dia juga tak pegang Pengerusi Perhubungan Umno negeri yang kini masih disandang Shahidan Kassim,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Dewan Pemuda PAS Padang Besar kali ke 12 di Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

Justeru katanya, peluang yang ada ini perlu dipergunakan dengan sebaiknya dan setiap pendokong PAS tidak boleh duduk diam memerhatikan sahaja keadaan yang berlaku.

“Inilah masanya untuk kita bekerja. Jangan duduk saja. Peluang sebegini bukannya datang selalu, payah kita nak jumpa keadaan macam ni.

“Para pemuda PAS juga harus bekerja terus menarik sokongan golongan muda kepada PAS. Kekalkan momentum sokongan orang muda terhadap PAS seperti dalam pilihanraya baru-baru ini ," katanya lagi

SALAM PERJUANGAN

السلام عليكم ورحمـة الله وبركـاتــه

بسم الله الرحمن الرحيم، الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين
Firman Allah SWT,

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا كَأَنَّهُمْ بُنيَانٌ مَرْصُوصٌ
Maksudnya :

“Sesungguhnya,Allah mengasihi orang-orang yang beperang untuk mempertahankan agamaNya, dalam satu barisan yang tersusun rapi, seolah-olah mereka itu sebuah bangunan yang terbina kukuh.” (as-Shaf: 4)

Selamat Datang ke blog Dewan Pemuda PAS Kawasan Padang Besar. Kami akan cuba memaparkan berita terkini berkaitan aktiviti DPP Padang Besar, isu semasa, berita Perlis dan fikrah pimpinan.

Mudah-mudahan apa yang kami berikan ini akan memberikan manfaat kepada semua. Selamat membaca.