Ruang Sukan akhbar Kosmo hari ini memuatkan keluhan Datuk Seri Shahidan Kassim yang menyatakan dia kini benar-benar 'pokai' kerana terpaksa membelanjakan sehingga RM200,000 sebulan untuk menangggung perbelanjaan Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) dengan menggunakan wang poketnya sendiri.
"Saya menanggung PFA lebih daripada menjaga keluarga saya. Akibat tidak cukup wang untuk sara persatuan ini dengan along pun saya dah kena pinjam sekarang. Saya dah cukup sengsara menanggung masalah ini seorang diri, semuanya saya jual cuma tinggal saham saja sikit lagi, itu pun tidak boleh jual kerana harga jatuh", beritahunya selepas sidang media selepas perlawanan antara Perlis dan Kelantan malam kelmarin.
Beliau seterusnya menyatakan kesengsaraan hidupnya bermula setelah tidak terpilih lagi sebagai Menteri Besar Perlis selepas PRU ke-12. Shahidan dalam hal ini menyalahkan Kerajaan Negeri yang dipimpin oleh Dr Mat Isa Sabu yang katanya menganiaya pemain bolasepak Perlis kerana enggan mnyalurkan bantuan kepada PFA menyebabkan separuh dari bayaran gaji kepada pemain bulan ini terpaksa ditangguhkan.
Shahidan mengaku dia membelanjakan PFA dengan wang dari poketnya sendiri sebanyak RM200,000 sebulan? Tentu ada yang berkata: wah, kayanya Shahidan belanja PFA hingga RM200,000 sebulan! Bila beliau berbelanja RM200,000 sebulan untuk PFA bermakna dia menanggung perbelanjaan untuk persatuan itu RM1 juta dalam tempoh 5 bulan atau RMRM2.4 juta setahun. Itu untuk satu persatuan saja, bagaimana dengan beberapa persatuan lain yang juga dipimpin Shahidan seperti Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia, Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) dan Persatuan Kabaddi Malaysia? Jika Shahidan juga menggunakan wang poketnya sendiri untuk meneruskan hayat persatuan-persatuan itu berapa banyak yang ditanggungnya sebulan - RM600,000, RM800,000 atau RM1 juta?
Tentu ada yang berkata Shahidan mungkin sengaja membesar-besarkan cerita mengenai sifat pemurahnya kepada PFA itu sebagai senjata untuk memburuk-burukkan Dr Mat Isa Sabu yang kini menjadi pesaing politiknya di Perlis. Tapi kepada sesiapa yang mengenali watak Shahidan dari dekat mereka pasti percaya kebanyakan apa yang dikatakannya, jika tidak 100% betul, mungkin 80% betul. Ini kerana ketika Shahidan menjadi Menteri Besar Perlis dia memang dikenali sebagai seorang yang bukan saja pemurah tetapi terlalu pemurah dan terlalu tidak lokek. Tidak hairan setiap hari Pejabat Menteri Besar sentiasa menjadi seperti pejabat Kebajikan Masyarakat yang penuh sesak dengan orang ramai yang meminta bantuan kewangan darinya. Dan biasanya siapa pun yang menemuinya pasti tidak akan pulang kosong dari pejabat MB yang sangat dermawan itu. Jika kebetulan berkunjung ke kedai makan di Perlis, bukan sesuatu yang aneh Shahidan membelanjakan semua mereka yang berada di kedai makan itu, malah sebelum berundur beliau akan menyerahkan sejumlah wang kepada taukeh kedai sambil berpesan supaya menghabiskan semua wang yang diberinya itu untuk pelanggan-pelanggan yang membeli makanan di kedainya hari itu dan jika ada baki sambung lagi esok.
Saya teringat di satu tengah hari ketika bersama dengan rombongan beliau di sebuah kedai makan di pinggir tasik Timah Tasoh, sebelum berundur saya menemui pemilik kedai dan bertanya, "Berapa MB hulur tadi?"
"RM500.00", jawab pemilik kedai, "Nampaknya semua orang dapat makan free sampai petang ini"
Begitulah pemurahnya mantan MB Perlis ini. Dari mana dia dapat wang tidak penting, yang penting ketika berkuasa dulu semua orang kuat UMNO sangat mentaatinya kerana salah satu sebab, mereka mudah mendapat bantuan wang segera darinya. Pegawai kerajaan juga dapat tempias dari kemurahan Shahidan kerana sentiasa dapat makanan yang sedap-sedap ketika bermesyuarat dengannya dan menjelang Aidilfitri setiap seorang mendapat imbuhan belanja raya yang sangat lumayan. Semuanya dari wang poket MB sendiri, bukan dari sumber Kerajaan Negeri.
Namun kini Shahidan tidak lagi menjadi MB Perlis. Dia yang semasa menjadi MB dulu sangat kaya raya kini seperti yang diakuinya sudah 'pokai' dan terpaksa pula berhutang dengan along. Seperti kata Shahidan dia mula kekurangan wang sejak tidak lagi menjadi MB. Maknnya jawatan MB lah salah satu faktor penyumbang menjadikan beliau begitu terlalu pemurah dan terlalu dermawan. Patutlah ketika tidak dipilih sebagai MB dahulu beliau kelihatan begitu berang, kerana tanpa jawatan itu dia tidak lagi dapat memperlihatkan dirinya sebagai manusia yang sangat pemurah dan dermawan.
1 comment:
Tangan yang memberi lebih baik dari tangan yang menerima, dan sebaik-baik pemberian ialah pemberian yang tidak di war-warkan kepada kepada orang ramai, tetapi denga kudus ikhlas mendapatkan syafaat dari Allaha... kerana pemberian yang ikhlas niat kerana Allah akan ditambahkan rezeki dariNYA berlipat kali ganda, tetapi jika pemberian tersebut dibuat untuk mendapat penghormatan dan pengiktirafan dari manusia, akan muflis jadinya...itulah sedikit al-kisah manusia akhir zaman... semua bentuk perbuatan akan di bayar cash untuk menjadi teladan dan panduan kepada yang masih hidup untuk insaf dan bertaubat di kala masih lagi diberi kesempatan...
Post a Comment