Oleh : Al-Marhum Dato’ Ustaz Haji Fadzil Noor
Perkembangan politik semasa mengajak kita untuk mempertingkat dan mengemaskan seluruh gerak kerja Jamaah. Suasana hari ini jauh berbeza sekali dengan suasana dekad-dekad yang lalu. Ulamak sebagai pembimbing dan penetu dalam perkara-perkara yang memerlukan pengarahan syara’ dan politik atau ‘taujih syari’i dan siasi’ kepada gerakan ini hendaklah mencurahkan seluruh tenaga bagi mendepani tuntutan pergolakan semasa.
Hari ini kita mempunyai ahli yang begitu ramai dan mereka mempunyai latar belakang yang berbeza. Pandangan dan tuntutan ahli mengenai halatuju serta agenda parti kian memuncak. Mereka meletakkan harapan yang tinggi kepada
Ulamak dalam membimbing mereka mencapai matlamat perjuangan suci ini. Pihak lawan telah mengatur strategi untuk melumpuhkan PAS, bermula dengan strategi politik sehinggalah kepada strategi agama. Dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS terus menerus diserang dan dimomok-momokkan. Firman Allah s.w.t :
Mafhumnya : “Banyak di antara Ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) suka kalaulah kiranya mereka dapat mengembalikan kamu menjadi kafir setelah kamu beriman, kerana dengki yang timbul dari diri mereka sendiri, sesudah nyata kepada mereka kebenaran (Nabi Muhammad s.a.w). Oleh itu, maafkanlah dan biarkanlah oleh kamu (akan mereka), sehingga Allah datangkan perintahNya. Sesunggunya Allah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu”. (Surah Al-Baqarah : 109)
Mereka berharap dengan cara yang demikian akan dapat mencetuskan keraguan di kalangan ahli dan penyokong terhadap dasar dan perjuangan PAS.
Mutakhir ini sedutan episode sejarah Islam contohnya tentang perbalahan antara Saidina Ali dan Mua’wiyah dan peranan Abdullah Ibn Ubai diberi satu perspektif yang agak jauh menyimpang dari penafsiran Ulamak sirah dan tarikh islami sekaligus menyalahkan PAS sebagai pencetus perpecahan dan perbalahan di dalam masyarakat. Sehingga kini usaha mereka tidak berkesan bahkan rakyat terus meletakkan keyakinan kepada dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS. Majlis Syura Ulamak dan Dewan Ulamak hendaklah peka dan prihatin tentang serangan dan pelbagai taburan fitnah seumpama ini. Usaha yang lebih berkesan dan terancang hendaklah ditumpukan bagi menyanggah segala serangan dan menangkis tohmahan yang berterusan dari pihak lawan. Di samping itu satu agenda yang komprehensif dan sistematik bagi membimbing dan meningkatkan kefahaman Islam dan komitmen di kalangan ahli hendaklah dijadikan program perdana Dewan Ulamak.
Kita amat bimbang sekiranya perkara ini diabaikan kemungkinan ianya akan menjejaskan matlamat dan halatuju perjuangan kita. Dalam menghadapi cabaran semasa, kita hendaklah mengimbau kembali tetang perkembangan Islam bermula dari zaman Rasulullah s.a.w sehinggalah ke zaman tabi’en dan zaman berikutnya, di mana suasana yang dihadapi adalah begitu berbeza sekali. Strategi serta pendekatan yang dilakukan oleh mereka juga berbeza bahkan perbezaan ini berlaku di kalangan khulafa Ar-Rasyidin. Setiap mereka berhadapan dengan suasana budaya dan adapt resam yang berbeza di setiap wilayah baru yang dibuka.
Pembukaan wilayah baru Islam terutamanya di Iraq dan Syam dan kemasukan beramai-ramai rakyat setempat ke dalam Islam telah menimbulkan suatu keadaan yang perlu diimbangi di antara tuntutan keperluan kehidupan yang pernah diamalkan selama ini dengan peruntukan-peruntukan syara’. Kedudukan tamadun dan budaya yang ada pada mereka adalah begitu berbeza dengan suasana dan keadaan yang wujud di Madinah. Keadaan ini memaksa para Ulamak dan pmpinan Islam pada masa itu mencari penyelesaian bagi mengatasi masalah yang dihadapi dengan begitu cermat dan bijak.
Oleh kerana banyak perkara baru yang dihadapi yang memerlukan penyelesaian melalui hukum Islam sedangkan nas-nas agak terhad, maka mereka telah menggemblengkan tenaga berijtihad ke atas perkara yang tidak mempunyai nas dengan berpandukan kepada semangat dan roh syariat Islam yang berteraskan kepada Al-Quran dan Al-Sunnah. Selain daripada dua sumber tadi mereka telah juga melaksanakan Al-Qiyas, Al-Istihsan, Masaleh-al-Mursalah, Sabdu Al-Zari’at dan beberapa sumber sekunder (sumber sokongan) yang lain yang dikenali sebagai sumber tambahan perundangan Islam.
Pendekatan yang mereka lakukan adalah bagi memenuhi tuntutan dan semangat Syariat Islam yang sesuai untuk setiap zaman, tempat dan masa. Pengalaman yang pernah dihadapi oleh para sahabat dan para tabi’en nampaknya sedang dihadapi oleh kita sekarang ini. Kita hendaklah sedar bahawa banyak perkara baru yang perlu diselesaikan terutama sekali perkara-perkara yang berkaitan dengan sistem politik, ekonomi, pentadbiran dan sistem organisasi kita sendiri.
Kita hendaklah menerokai cara baru bagi menghadapi cabaran ini. Oleh itu kita hendaklah juga memanfaatkan semua tenaga dan kekuatan yang ada pada kita bagi melonjakkan perjuangan ini untuk sampai kedestinasi yang kita harapkan selama ini. Para Ulamak adalah dipertanggungjawabkan oleh Jamaah bagi membimbang seluruh ahli untuk terus bergerak dan berjuang selaras dengan tuntutan Islam yang merupakan wadah perjuangan kita.
Dalam suasana yang pantas berubah, kepimpinan Ulamak harus membuktikan keupayaan mendepani permasalahan umat dan Negara terutama yang menyentuh persoalan hukum. Pimpinan Ulamak seharusnya menginstitusikan ‘Pembudayaan ilmu’ di kalangan kita sehingga permasalahan atau qodhaya umat dan Negara mampu kita garap dan depani bersandarkan ilmu dan penekunan penyelidikan. Nabi s.a.w. bersabda :
Mafhumnya : “Tatkala zahirnya bid’ah di kalangan ummatku maka menjadi kewajipan ke atas orang-orang Alim untuk menzahirkan ilmunya sekiranya mereka melakukan demikian justeru ke atas mereka tanggungan laknat Allah, Malaikat dan manusia seluruhnya.”
Kita juga harus jelas apakah perkara yang tetap dan prinsip yang tidak mengalami perubuhan walau apapun pergolakan dunia ini. Inilah perkara-perkara tetap atau at-thawabit yang perlu dipelihara dengan segala sifat cemburunya. Secara dasarnya ia menyinggung persoalan aqidah, syari’at dan moral. Adapun dari sudut perkara-perkara yang boleh berubah mengikut peredaran zaman dan tamadun, maka Ulamak harus menunjukkan bimbingan yang bijak atas perkara-perkara yang berubah ini (al-mutaghayyirat). Kita tidak perlu terlalu syadid (keras) tetapi sempit dalam perkara yang tidak menuntut sikap yang sedemikian khasnya dalam suasana Negara yang bermasyarakat majmuk dan dalam perhubungan praktik antara amalan budaya dan agama.
Justera umat dan rakyat akan menyaksikan kehebatan dan kepimpinan Ulamak secara praktik (amali) dan juga secara teori (nazari). Dalam urusan perkara ini juga saya suka untuk mengingatkan pesanan dari Al-Marhum Said Hawa bahawa sesebuah Gerakan Islam harus mengimbangi penggunaan hukum azeemah (prinsip asal) dan juga hukum rukhshah (pengecualian) agar dapat diimbangi setiap maslahah (kebaikan) dan mafsadah (keburukan) sesuatu urusan dan permasalahan umat itu supaya mampu diletakkan sesuatu ketentuan, polisi atau mauqifnya itu, kepada yang paling wajar dan bijak untuk perjuangan Ilam dan kemaslahatan umat dan Negara.
Adalah wajar kiranya kepimpinan Ulamak bersama sokongan golongan professional dan cerdik-pandai parti mengagenda penampilan imej PAS sebagai ebuah Gerakan dan Parti Islam yang berpegang teguh dari sudut prinsip (usuliy atau ‘fundamentalis’), kontemporari (mu’assirah) dari sudut pelaksanaan dan futuristic (istiqbali) di segi persiapan cabaran masa depan.
Saya berharap agar para Ulamak PAS akan meningkatkan keseriusan dan komitmen dalam menangani dan menyelesaikan persoalan-persoalan dan cabaran-cabaran baru dalam pergerakan ini, sama ada yang berbentuk tarbiyyah dan tadrib, aspek ekonomi atau fiqh mu’amalat, perundangan dan kehakiman, moral dan budaya dan seterusnya. Ini merupakan tanggungjawab yang perlu dipikul sepenuhnya oleh para Ulamak, kerana Ulamak diamanahkan oleh jamaah dalam menentukan kelangsungan perjuangan ini. Sabda Rasulullah s.a.w :
“Sesungguhnya Allah akan bertanya setiap mereka yang bertanggungjawab tentang tanggungjawab dan jagaannya sama ada ia menjaganya dengan baik atau mengabaikannya”.
No comments:
Post a Comment