KANGAR, 12 Nov (Bernama) -- Bekas Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri Datuk Seri Mohd Radzi Sheikh Ahmad telah dilantik sebagai penasihat khas Menteri Besar Perlis Datuk Dr Md Isa Sabu.
Radzi, yang juga Anggota Parlimen Kangar, memulakan tugas itu Rabu dengan menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis.
Ketika ditemui di pejabat Menteri Besar hari ini, beliau bagaimanapun enggan menghuraikan tugas yang diberikan kepadanya sebagai penasihat khas.
Mengenai satu perkara lain, Radzi yang juga bekas Setiausaha Agung Umno, melahirkan rasa bimbang ramai anggota Umno belum menjelaskan yuran tahunan mereka kerana asyik berkempen pada pemilihan cawangan dan bahagian baru-baru ini.
Katanya ibu pejabat Umno belum mengeluarkan arahan tentang yuran yang sepatutnya dibayar sebelum 31 Dis ini.
"Saya terpanggil untuk melahirkan kebimbangan ini kerana tahun 2008 kian sampai ke penghujungnya dan ahli Umno tanpa yuran tidak boleh menyertai mesyuarat," katanya.
Umno mempunyai lebih 3.2 juta ahli di kira-kira 20,000 cawangan.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment