Thursday, January 22, 2009

Rakyat tolak Umno kerana ABC


BESERI - Perubahan politik dunia bukan sekadar menyaksikan tampuk pemerintahan Amerika Syarikat bertukar tangan apabila rakyat mereka menolak parti Republikan dan memilih calon parti Demokratik, sebaliknya perubahan tersebut juga sedang berlaku di negara ini.

"Bukan sahaja parti George Bush ditolak rakyat Amerika tetapi Umno/Barisan Nasional juga sedang ditolak rakyat di negara kita.

"Sebabnya mereka (Umno/BN) ada penyakit ABC dalam parti mereka. ABC tu adalah Ampu, Bodek dan Cantas-mencatas. Itulah yang ada dalam parti mereka sehinggakan baru-baru ini sekali lagi mereka ditolak dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya.

Jelasnya, ekoran kekalahan tersebut, rakyat diseru agar tidak terpedaya dengan perubahan imej yang bakal dibuat Umno/BN selepas ini, sama seperti perubahan yang dibuat kepada imej Presiden Amerika Syarikat yang baru.

"Di Amerika, imej buruk Bush telah ditolak di seluruh dunia dan dengan imej baik, Barack Obama telah diterima. Kita perlu berwaspada kerana watak baik ini dicipta oleh Yahudi, tanpa sokongan dan lobi Yahudi tak mungkin Obama akan ke Rumah Putih.

"Begitu juga dengan Umno, mereka pun macam tu juga. Kita tak boleh meletakkan apa-apa harapan pada mereka untuk menjaga agama. Hati-hati dengan perubahan imej mereka selepas ini apabila mereka ditolak rakyat," jelasnya.

Katanya lagi, Umno akan membuat kajian terperinci mengapa mereka ditolak rakyat dan akan mencari jalan untuk memperbetulkan imej mereka di kaca mata rakyat.

"Dulu imej Dr Mahathir begitu buruk dan diubah melalui pendekatan Islam Hadhari Pak Lah. Bila imej Pak Lah pula buruk kita tak tahu apa pulak pendekatan mereka selepas ini, mungkin Islam Glokal pula?," katanya berseloroh.

Ustaz Ahmad menyatakan demikian ketika menyampaikan kuliah sempena majlis kesyukuran kemengan PAS dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu anjuran Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

No comments: