Friday, January 30, 2009

CERAMAH IJTIMAK PAS KWSN PADANG BESAR 8 FEBRUARI


CERAMAH IJTIMAK PAS KWSN PADANG BESAR 7 FEBRUARI


TG Nik Aziz Anggap Umno Pokok Hampir Mati

KOTA BAHARU- Laporan Bernama semalam memetik kenyataan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan perkembangan dalam Umno sekarang menunjukkan parti itu hilang daya tarikan sehingga ada pemimpinnya yang berpaling tadah.


Katanya kalau diibaratkan sebatang pokok, Umno kini sebuah parti yang hampir mati dan akan gugur sendiri dahannya satu persatu sebelum menjadi pokok mati.

"Umno kini tiada daya tarikan atau 'graviti' untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya dan ini menyebabkan ramai ahli dan pemimpinnya mula berpaling tadah menyertai parti pembangkang, terutama PAS," katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Anggota Exco Kerajaan Negeri Datuk Anuar Tan.

Menteri Besar Kelantan itu berkata apa yang sedang berlaku dalam Umno merupakan perkembangan yang baik bagi Pakatan Rakyat, khasnya PAS, yang sedang berusaha menarik sokongan rakyat terhadap perjuangan yang akan membawa perubahan kepada mereka.

Ditanya mengenai cadangan Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Umno Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail supaya sayap Umno dibubarkan bagi mengelak politik wang dalam parti itu, Nik Aziz berkata itu adalah masalah dalaman Umno.

"Ia terjadi dengan sendiri apabila pemimpinnya tidak mengamalkan dasar yang betul. Inilah juga punca yang menyebabkan Umno diibaratkan parti yang hilang graviti untuk menarik rakyat menyokong perjuangannya," katanya.


Tuesday, January 27, 2009

Dr Juanda Mufti Baru Perlis

Petikan Bernama

KANGAR, 27 Jan (Bernama) -- Ketua Penolong Pengarah Dakwah Jabatan Agama Islam Sarawak, Dr Juanda Jaya bakal menjadi Mufti Perlis yang baru berkuatkuasa Februari ini.

Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Dr Md Isa Sabu yang mengesahkan perkara itu di sini hari ini berkata, kerajaan negeri bagaimanapun masih menunggu surat pelepasan daripada kerajaan negeri Sarawak untuk meminjam Dr Juanda selama dua tahun.

"Kerajaan negeri berterima kasih kepada kerajaan Sarawak kerana sudi meminjamkan pengawainya untuk berkhidmat di Perlis," katanya ketika ditemui pada majlis jamuan sambutan Tahun Baru Cina di Dewan Khoon Aik dekat sini hari ini.

Beliau berkata Dr Juanda merupakan antara enam calon yang nama mereka dikemukakan kepada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail sebagai bakal Mufti Perlis bagi mengisi kekosongan kerusi yang tinggalkan Dr Mohd. Asri Zainul Abidin pada 30 November tahun lalu.

"Dr Juanda merupakan seorang yang mempunyai pegangan akademik yang baik, selain dari kalangan pengamal fahaman Sunnah Waljamaah selari dengan perlembagaan kerajaan negeri Perlis," katanya kepada pemberita.

Mohd. Asri, pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM), menamatkan kontraknya setelah berkhidmat selama dua tahun di Perlis, lebih awal dari tempoh yang dipinjamkan oleh USM iaitu sehingga pertengahan tahun ini.

Beliau kini berada di United Kingdom melakukan kajian selama enam bulan mengenai Islam dan hadis sebelum kembali berkhidmat dengan USM sebagai pensyarah pengajian Islam.

Sementara itu, Dr Juanda yang dihubungi Bernama hari ini mengesahkan telah menerima tawaran kerajaan negeri Perlis sejak akhir Disember lalu.

"InsyaAllah saya akan mula bertugas pada Februari ini," kata bekas Timbalan Mufti Sarawak berusia 38 tahun itu.
-- BERNAMA

Harapan Kepada Dr Juanda Jaya.... Baca di sini >>>

Friday, January 23, 2009

Komen Pj Perlis atas kemenangan PRK KT

KANGAR - Pesuruhjaya PAS Perlis, Ustaz hashim Jasin merakamkan ucapan tahniah di atas kemenangan calon PAS, Mohd Abdul Wahid Endut dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu baru-baru ini.

Dengan melahirkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT, beliau menyifatkan kemenangan ini memberi makna bahawa PAS/Pakatan Rakyat semakin diterima oleh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Ini juga membuktikan bahawa pengaruh Barisan Nasional (BN) terus merosot di kaca mata rakyat dan akan terus merosot sehinggakan mereka akan lenyap dari arena politik tanahair.

"Bagi saya, rakyat semakin mahukan perubahan dan kan terus menerus berubah. Ini adalah satu bentuk perubah
an yang akan diterima oleh seluruh rakyat di negara ini," ujarnya.

Katanya lagi, walaupun BN akan mula menyusun pelbagai strategi baru selepas ini, kekalah di dalam pilihanraya kecil ini akan menyebabkan luka mereka semakin parah.

"Saya yakin rakyat sudah matang dengan sepak-terajang politik di dalam negara ini dan akan terus menolak BN pada masa kan datang.

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua khususnya jentera PAS dari Perlis yang telah berkorban masa, tenaga dan wang ringgit menyahut seruan PAS untuk sama-sama membantu dalam pilihanraya kecil tersebut," katanya.


Thursday, January 22, 2009

Rakyat tolak Umno kerana ABC


BESERI - Perubahan politik dunia bukan sekadar menyaksikan tampuk pemerintahan Amerika Syarikat bertukar tangan apabila rakyat mereka menolak parti Republikan dan memilih calon parti Demokratik, sebaliknya perubahan tersebut juga sedang berlaku di negara ini.

"Bukan sahaja parti George Bush ditolak rakyat Amerika tetapi Umno/Barisan Nasional juga sedang ditolak rakyat di negara kita.

"Sebabnya mereka (Umno/BN) ada penyakit ABC dalam parti mereka. ABC tu adalah Ampu, Bodek dan Cantas-mencatas. Itulah yang ada dalam parti mereka sehinggakan baru-baru ini sekali lagi mereka ditolak dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu," kata Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahya.

Jelasnya, ekoran kekalahan tersebut, rakyat diseru agar tidak terpedaya dengan perubahan imej yang bakal dibuat Umno/BN selepas ini, sama seperti perubahan yang dibuat kepada imej Presiden Amerika Syarikat yang baru.

"Di Amerika, imej buruk Bush telah ditolak di seluruh dunia dan dengan imej baik, Barack Obama telah diterima. Kita perlu berwaspada kerana watak baik ini dicipta oleh Yahudi, tanpa sokongan dan lobi Yahudi tak mungkin Obama akan ke Rumah Putih.

"Begitu juga dengan Umno, mereka pun macam tu juga. Kita tak boleh meletakkan apa-apa harapan pada mereka untuk menjaga agama. Hati-hati dengan perubahan imej mereka selepas ini apabila mereka ditolak rakyat," jelasnya.

Katanya lagi, Umno akan membuat kajian terperinci mengapa mereka ditolak rakyat dan akan mencari jalan untuk memperbetulkan imej mereka di kaca mata rakyat.

"Dulu imej Dr Mahathir begitu buruk dan diubah melalui pendekatan Islam Hadhari Pak Lah. Bila imej Pak Lah pula buruk kita tak tahu apa pulak pendekatan mereka selepas ini, mungkin Islam Glokal pula?," katanya berseloroh.

Ustaz Ahmad menyatakan demikian ketika menyampaikan kuliah sempena majlis kesyukuran kemengan PAS dalam Pilihanraya Kecil Parlimen P036 Kuala Terengganu anjuran Sekolah Rendah Islam At-Taqwa dekat sini baru-baru ini.

Monday, January 12, 2009

IJTIMAK PAS KAWASAN PADANG BESAR 7-8 FEBRUARI

PAS Kawasan Padang Besar akan menganjurkan Ijtimak PAS Kawasan kali ke-2 pada 7 dan 8 Februari akan datang.

Program tahunan ini akan diadakan di tapak Kompleks Tarbiyyah PAS Kawasan di Jalan Bukit Kerang, Beseri.

Menurut Setiausaha PAS Kawasan, Ustaz Yahya Ahmad, ijtimak ini diadakan bagi menghimpunkan seluruh jentera PAS, ahli-ahli dan penyokong PAS dalam pelbagai program yang telah disusun.

"Di samping itu kita juga akan dapat memanfaatkan tapak kompleks Tarbiyyah PAS kawasan yang telah dibeli yang bakal dibangunkan kelak," jelasnya.

Pelbagai acara telah disusun untuk program dua hari tersebut seperti ceramah pimpinan PAS/Pakatan Rakyat, makan malam bersama pemimpin, kenduri rakyat dan khidmat rawatan kesihatan percuma.

Selain itu, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat pula akan menganjurkan acara masing-masing seperti pertandingan bolasepak, explorace dan sukaneka.
 
Bagi memeriahkan lagi ijtimak kali ini, ianya bakal menyaksikan penglibatan sekolah-sekolah kelolaan PAS dan Pasti. 

Sehubungan itu, pihak penganjur juga membuka skim aqiqah bagi mereka yang berminat untuk menyertainya.

Untuk sebarang pertanyaan atau tempahan gerai sila hubungi 017-5627003 (Ustaz Yahya),    019-4257231 (Daud Hassan)  atau 04-9764278 (Pejabat).

Ezam gagal pikat pengundi KT

Kemunculan bekas orang kuat PKR Ezam Mohd Nor dengan isu yang hampir sama tidak begitu berjaya memancing ghairah pengundi dalam dua program ceramahnya dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu.

Kehadirannya bersama sejumlah bekas aktivis muda parti itu kelihatan tidak lagi memikat daya gerak orang ramai untuk mendengarnya dan isu-isu yang dibangkitkannya tidak lagi bergaung dalam kalangan penduduk di bandar raya ini.

Orang ramai kelihatan lebih terpukau dengan gaya dan suara Ezam yang saling tidak tumpah mirip suara Datuk Seri Anwar Ibrahim, bekas bosnya yang kini menjadi sasaran kecamannya.

Orang ramai bertepuk tangan setiap kali Ezam meniru gaya pidato Anwar.

Ceramahnya di dua tempat dalam DUN Bandar dan Ladang sejak dua hari lalu disertai kira-kira 400 orang sahaja. Bagaimanapun jumlah pendengar ini sudah cukup besar berbanding beberapa penceramah Umno yang lain.

Kehadirannya juga sekurang-kurangnya berjaya memeriahkan perjalanan pilihanraya kecil ini sewaktu Anwar dan isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bersama jentera PKR bertungkus-lumus menggempur kawasan parlimen ini, khususnya di Bandar.

Pilihanraya yang disertai calon BN Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dan calon PAS Mohd Abdul Wahid Endut dirasakan agak sunyi biar pun tinggal lima hari lagi sebelum pengundian, Sabtu ini.

Dekat rumah pangsa Kampung Kolam di DUN Bandar kelmarin, ceramah bekas ketua Pemuda PKR dihadiri oleh hampir 200 orang, manakala di rumah pangsa Bukit Kecil - terletak satu kilometer dari pejabat perhubungan PKR Terengganu - malam tadi, ia dihadiri jumlah yang hampir sama.

Kebanyakan pendengar terdiri penduduk sekitar yang berusia 40 tahun ke atas. Beberapa puluh anak muda yang hadir turut bertepuk tangan mendengar kecamannya terhadap Anwar. 

Hampir separuh pendengar berdiri tidak jauh pentas ceramah di Blok C pangsapuri tersebut.

Isu-isu yang dibawa Ezam termasuk enam kotak yang mengandung dokumen rahsia amalan rasuah pemimpin-pemimpin BN yang, menurutnya, disimpan oleh Anwar. Isu ini bukan lagi isu baru. 

Bekas setiausaha Anwar itu sebelumnya pernah menyatakan sedemikian, termasuk dibangkitkan dalam pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh yang ditandingi mantan timbalan perdana menteri itu, Ogos lalu.

Sama ada pendedahannya di dua tempat itu mampu mempengaruhi pengundi Kuala Terengganu atau sebaliknya, ia tidak dapat dipastikan. 

Di Permatang Pauh, isu ini tidak memberi kesan kepada Anwar.

Beliau juga mendakwa Anwar seorang pemimpin tidak konsisten apabila menyerang Tun Dr Mahathir Mohamad sehari sebelum cuba berdamai dengan perdana menteri waktu itu sejurus selepas dipecat September 1998.

Ezam juga berkata Anwar memintanya menunggu untuk mendedahkan dokumen-dokumen sulit tersebut dan maka itulah beliau meninggalkan PKR selepas tidak bersetuju dengan tindakan ketua pembangkang itu.

Bagaimanapun, bekas setiausaha Angkatan Muda PKR, SD Johari Mohd Yassin mendakwa siri pendedahan Ezam berjaya memberi kesedaran pengundi supaya memangkah Wan Ahmad Farid.

"Kita tidak mahu pengundi di sini terperangkap dengan mengundi calon PAS.

"Mengundi calon PAS bermakna mengundi Anwar kerana beliau yang mengawal parti itu," katanya.

Sunday, January 11, 2009

ISU HUDUD : DEWAN PEMUDA PAS SEDIAKAN JALAN KELUAR

Satu senjata UMNO yang masih belum ditumpulkan lagi telah digunakan sekali lagi oleh UMNO dalam pilihanraya kecil Kuala Terengganu untuk memecah belahkan komponen dalam Pakatan Rakyat (PR). Terbaharu kononnya pertembungan telah berlaku antara Pengerusi DAP YB Karpal Singh dengan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Pertembungan ini bermula apabila Tuan Guru Dato’ Seri Abdul Hadi Awang Presiden PAS telah menyatakan bahawa hudud hanyalah untuk orang islam sahaja, oleh itu tidak timbul orang bukan islam takut kepada hudud. Penjelasan yang sama juga telah dikemukakan oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim yang telah menyatakan bahawa tidak perlu menolak hukum hudud kerana ia hanya terpakai kepada orang Islam sahja. YB Karpal Singh yang juga merupakan seorang peguam yang dihormati telah menyangah kenyataan Dato’ Seri Anwar Ibrahim berhubung pemakaian undang-undang hudud ini. Karpal, berkata untuk hukum hudud diguna pakai, prasyaratnya ialah penubuhan sebuah negara Islam seperti Arab Saudi di mana undang-undang Islam terpakai kepada orang Islam dan bukan Islam.

Persoalannya sampai bilakah pemimpin Pakatan Rakyat(PR) harus berbeza pendapat terhadap isu hudud? Semua pemimpin PR harus ingat bahawa tuhan telah memberi petunjuk dalam pilihanraya 2008 bahawa kalau PR mahu memerintah Malaysia mestilah ada kesepakatan antara PAS, Keadilan dan DAP. Rakyat mahu melihat kesepakatan, bukannya mahu melihat siapa yang menjadi hero untuk sesebuah parti atau kelompok masyarakat. Janganlah menggunakan media sehingga rakyat menjadi muak untuk mendengarnya. Selesaikan masalah ini dimeja rundingan.

Dalam mesyuarat bulanan Dewan Pemuda PAS Pusat di Kuala Terengganu pada 5hb Januari 2009 lepas telah bersetuju untuk mengadakan sidang meja bulat bagi mempertemukan para cerdik pandai daripada kalangan parti komponen PR untuk membincangkan isu-isu bersama. Rumusan perbincangan ini akan dipersembahkan kepada pemimpin-pemimpin utama dalam PR. Dewan Pemuda PAS Pusat bersedia untuk menjadi orang tengah bagi merumuskan persoalan-persoalan yang masih belum lagi terungkai dalam PR. Insaya-Allah.


Suhaizan Kaiat
Ketua Penerangan
Dewan Pemuda PAS Pusat

Tuesday, January 6, 2009

Anak muda hilang semangat perjuangan Umno



Pemuda Umno Padang Besar menggesa calon-calon Ketua Pemuda yang bertanding agar mengambil kira suara dan pandangan akar umbi sekiranya memenangi jawatan tersebut dalam pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.


"Perjuangan Pemuda Umno untuk bangsa, agama dan tanahair. Tetapi (jangan) bila pegang jawatan (nanti), kami dilupakan," kata ketua Pemudanya, Mohsin Yusof kepada Malaysiakini.

Pemilihan jawatan ketua Pemuda akan berlangsung pada Mac depan yang bakal menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara naib ketua Pemuda, Khairy Jamaluddin; exco pergerakan Pemuda, Datuk Mukhriz Mahathir dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo.

Teruskan membaca di sini >>>

Monday, January 5, 2009

Qunut Nazilah Buat Palestine

Ketika saudara-saudara seaqidah kita sedang ditindas Yahudi Laknatullah, marilah kita sama-sama bermunajat kepada Allah SWT memohon pertolongan-Nya....


Friday, January 2, 2009

SOLAT HAJAT PERDANA

Dewan Ulamak PAS Perlis akan menganjurkan Solat Hajat Perdana memohon kemenangan perjuangan Islam khususnya di Pilihanraya Kecil Parlimen (PRK) N36 Kuala Terengganu.

Majlis akan diadakan seperti berikut:

Tarikh : 5 Januari 2009 (Isnin) dan 16 Januari 2009 (Jumaat)
Tempat : Balai Islam MADI, Jejawi Dalam, Perlis
Masa   : Selepas Solat Maghrib

Sehubungan itu juga, Dewan Ulamak PAS perlis mengharapkan semua cawangan PAS di seluruh negeri Perlis mengadakan solat hajat masing-masing pada setiap malam selepas penamaan calon bagi PRK Parlimen N36Kuala Terengganu.

Thursday, January 1, 2009

Sekitar Demonstrasi Anti-Israel di Kangar

Dianjurkan oleh Dewan Pemuda PAS Perlis. Bertempat di Masjid Putra, Kangar selepas solat Jumaat 2 Januari 2009.